"Manusia adalah selemah-lemah makhluk yang diciptakan oleh Allah SWT.,dunia hanya sementara, akhirat adalah selamanya., be a truly muslimah..InsyaAllah.."
Showing posts with label Perkahwinan. Show all posts
Showing posts with label Perkahwinan. Show all posts

Thursday, September 3, 2015

MAAFKANKU WAHAI SUAMI

Kadang-kadang aku rasa
Akulah isteri yang terlalu banyak menerima
Sedangkan engkau tak pernah meminta

Kadang-kadang aku rasa
Akulah isteri yang baru terjaga
Sedangkan engkau tak pernah terlena

Kadang-kadang ku bersuara tanpa berfikir
semua perkataan ku menjadi salah
Datanglah ke sini dan pegang tangan ku
Sementara ku cerita kehidupan isteri
Harap dimengerti

Jauh di sudut hati ini
Aku mahu di tanya kamu apa yang hati ini ingini
Di sepanjang hidup bersamamu

Kadang-kadang ku sakiti hati mu
Bila ku susahkan hatimu
Bukan bermaksud aku kurang menyayangi mu
Namun cabaran terlalu

Kamu lihat aku tersenyum tapi sebenarnya aku ingin hiburkan hatimu
Kamu lihat aku setuju tapi sebenarnya aku ingin menghormatimu
Kamu lihat aku tenang tapi sebenarnya aku ingin menjaga setiap sudut hatimu
Kamu lihat aku kuat tapi sebenarnya aku tidak mahu ternampak terlalu mengharapkanmu
Kamu lihat aku terima segala tapi sebenarnya aku inginkan yang terbaik buatmu suamiku...

Banyak yang ingin aku ceritakan..
Banyak yang ingin aku luahkan..
Banyak yang ingin aku katakan..

Namun,.
Kerna kau seorang suami
Aku hanya ingin menjadi seorang isteri yang terbaik di sisimu..  
                                       
Kadang-kadang aku berubah pada pandangan mu
Tapi sayang, itu tidak benar
Tiada apa yang paling ku hargai
Daripada kehidupan manis bersama mu

Kadang-kadang ku fikir sejuta tahun
Adalah terlalu singkat
Hanya ku beritahu mu betapa sayangnya aku
Betapa syukurnya aku…
kau pelindung ku

Kadang-kadang berjauhan dengan mu
Akulah isteri yang terlalu tinggi bercita-cita…
Mencipta kerukunan keluarga
Namun aku tetap aku yang ini…
Maafkan aku wahai suami!




Suhaiza_Shuhaimi/AllahisEnoughforMe/3 Sept '15/at skool

Sunday, May 17, 2015

Suami Muda Vs Isteri Tua


"Mudanya husband dia. Tak pandan langsung!"

"Dengar kata isterinya tua lapan tahun dari nya.."

"Macam dah tak ada anak dara yang muda kat dunia ni agaknya.."

Kita mungkin pernah dengar dialog-dialog seperti di atas kala kita menjadi tamu di majlis walimah sahabat2. Tak kurang juga, mungkin mak menakan (saudara) kita sendiri yang mengeluarkan ayat2 pedih begitu. 

       Sebelum kita pergi lebih jauh, kita singkap kembali sirah Nabi SAW dalam menuju gerbang perkahwinan Baginda. Nabi SAW yang kita kenali seorang yang mempunyai empat sifat mulia iaitu siddiq (benar), amanah (boleh dipercayai), tabligh (menyampaikan) dan fathonah (bijaksana). Amat payah ketika itu menemui pemuda yang mempunyai keempat2 sifat mulia ini hingga Nabi SAW menjadi terkenal kerana akhlak dan peribadi Baginda SAW. Ketika itulah, seorang wanita terhormat, yang dihormati dan dipandang tinggi serta selalu membantu orang lain telah terpikat dengan peribadi Nabi SAW. 

Khadijah Al- Kubra merupakan seorang janda semasa mengahwini Baginda SAW. Kisah cinta agung ini bermula tatkala Nabi SAW yang digelar "Al -Amin" ini bekerja memperdagangkan barang milik khadijah dan mendapat keuntungan.

         Ketika itu, perbezaan umur di antara Saidatina Khadijah dan Nabi SAW ialah sangat besar. Khadijah berumur 40 tahun dan Nabi SAW baru berusia 25 tahun. Namun atas rasa cinta yang tidak berbelah bagi, dan kerana terpikat dengan akhlak Rasulullah SAW, Saidatina Khadijah sanggup melamar dan ingin mendirikan rumahtangga bersama Nabi SAW walau ketika itu Nabi SAW tidak mempunyai apa-apa. Perkahwinan Saidatina Khadijah bersama Baginda SAW sangat bahagia dengan dikurniakan dengan 3 orang putera dan 4 orang puteri. Di antaranya ialah Saidatina Fatimah RA.

            Di sini, dapat kita lihat sebenarnya faktor usia bukan lah salah satu faktor yang terlalu penting untuk membina sesebuah rumahtangga. Jika faktor suami lebih tua pun, tapi tidak matang seiring usia, masalah juga. Kematangan seseorang individu diukur bukan besarnya tempoh had umur individu itu sendiri. Tetapi realiti hakikat, bagaimana individu itu memantangkan dirinya. Mungkin dari cara kehidupan beliau, pengalaman yang dilalui dan didikan dari ibubapa. Baginda SAW sendiri dan isteri adalah contoh terbaik untuk dijadikan rujukan bagi perkahwinan berjarak usia ini. Baginda SAW walau berusia 25 tahun ketika itu, beliau tidak lepas tangan dan kekok melaksanakan tugas sebagai seorang suami. Malah berusaha membimbing isterinya bersama dalam bahtera perkahwinan mereka. 

           Dan di antara lelaki dan wanita, jika seorang wanita itu mendapat jodoh suami yang lebih muda dari usianya bukan lah suatu masalah yang besar. Ini kerana seorang lelaki memang terlahir di dalam dirinya sifat kepimpinan, melindungi dan kuat untuk menjadi suami kepada seorang isteri. Dan wanita itu sendiri, memang sudah mengetahui sifat seorang isteri perlu taat kepada suami walau suaminya lebih muda. Taatnya seorang isteri bukan disebabkan umur suami tetapi di sebabkan title suami itu sendiri. Dan memahami suami adalah ketua keluarga dan segala keputusan terletak pada tangan suami. Adakalanya mengahwini wanita yang lebih berusia bagi seorang lelaki muda ada juga baik nya. Ini kerana wanita sebegini ia cenderung kepada sifat lebih memahami, penyayang, tidak childish, mampu menjadi pendengar yang baik, penasihat yang pintar, lebih sofistikated dan berdikari. Sifat keibuan terlahir sudah kerana faktor usianya yang semakin meningkat. Pendek kata tidak banyak karenah. Seorang lelaki, sebenarnya akan datang masa mereka akan menjadi kebudak-budakan apabila bersama wanita kesayangan mereka. Dan lelaki juga memerlukan tempat untuk menyalurkan perasaan mereka apabila mereka sedang dilanda masalah yang menyedihkan. Pendek kata, lelaki juga memerlukan bahu untuk menangis! Ini kenyataan.. sebab itu sebolehnya seorang lelaki ingin mencari pasangan hidupnya kalau boleh seperti layanan ibunya.

Apabila mata bertentang, timbul satu rasa di hati. Lalu cinta dan kasih bersemi. Lalu, jarak usia ditolak ke tepi. Merasa serasi dengan apa yang dicari. Ketika itu, kita dah tak peduli walau ada yang mencaci. Yang penting kebahagiaan hati yang hakiki. Cinta bukan kerana sifat fizikal azali atau kecantikan asli, tapi bercinta lah kerana Allah, berkasih lah kerana Allah. Jika kita meletakkan semua itu di dalam hati, besar mana jarak usia kita, kalau kita yakin itu jodoh dari Ilahi, kebahagiaan sesebuah perkahwinan itu akan kita kecapi. Bawalah perkahwinan ini hingga kita di akhirat nanti untuk bersama kekal abadi.

Kalau terdengar orang lain mengherdik si pengantin di majlis walimah nanti. Balaslah..

"Itu lah namanya jodoh. Takdir Allah yang sangat unik. Pernah dengar rukun iman yang ke enam, Percaya kepada Qada dan Qadar. Nah...inilah ia. Jangan cakap makcik tak tahu pula yer.. "

Senyum tak perlu kata apa-apa..

^_^





*for others yg pernah mengatakan faktor jarak usia satu alasan menolak anda, wrong,. i just searching someone mature. something that is difficult for me to find. 

Suhaiza_Shuhaimi/AllahisEnoughforMe/17 May '15/at my hostel with my thesis in progress... =P




Thursday, November 7, 2013

Kisah Silam : Jangan Menyakiti Pasangan Kita

Memang menyakitkan hati suami ataupun isteri kita, pada saat kita dekat dengan dirinya, hati dan fikiran kita masih memikirkan dia yang dahulu, kisah-kisah silam kita.
Apatah lagi sekiranya kita masih menyebut-nyebut nama dia dihadapan pasangan kita kini. Allah pasti akan membalas kezaliman kita.
Langkah yang tepat dan betul harus kita lakukan adalah berusaha dan terus berusaha untuk melupakannya. Mengikhlaskan diri dan menerima semua takdir.

Berusahalah melupakan kisah silam!


Memang sukar, tetapi kita perlu sentiasa mencuba dengan gigih dan tidak berputus asa sehingga semua memori dan kisah silam yang pernah menimbulkan getar-getar asmara itu hilang. Yakinlah, suami atau isteri yang sekarang  ini lebih baik daripada kekasih dahulu. Mungkin dari segi fizikal dan paras rupa tidak sebaik yang dahulu, tetapi dari segi kemuliaan akhlak, budi pekerti dan sifat soleh, pasti lebih baik.
Apabila kita sudah berkahwin, tetapi masih memikirkan dia yang dahulu, alangkah zalimnya dan tidak bersyukurnya diri kita. Sudah diberikan yang halal dan ada dihadapan mata, tetapi masih memikirkan yang tiada.
Apakah gelaran yang sesuai untuk kita, sekiranya kita berkelakuan begitu kawan?
Terus berusaha menghilangkan bayangan wajahnya daripada memori, lebih-lebih lagi selepas kita mendapat pengganti. Jangan kita menyakiti hati pasangan dengan jasad kita bersamanya, tetapi jiwa kita jauh diseberang sana. Kita mengandaikan sedang bersama orang yang kita suka dahulu.
Walaupun begitu, Allah SWT tidak pernah membebani seseorang di luar kemampuan, termasuk ingatan kita kepada dia yang sering singgah dalam hati. Asalkan kita berusaha menepisnya, Allah SWT Maha Tahu dan Maha Memberi Pembalasan, tetap menilai apa yang kita usahakan

Perkara ini memerlukan proses dan masa

Semua perkara memerlukan proses. Bahkan, Sayyid Quthub juga pernah mengalaminya. Semasa beliau bekerja sebagai penyelia di sekolah rendah, beliau pernah menaruh hati kepada seorang gadis Kaherah. Hatinya bergelora sehingga beliau menghasilkan karya bertajuk, Asywak, yang menggambarkan ungkapan perasaan beliau kepada gadis itu. Beliau menulis begini, “Kepada seorang yang pernah menempuh jalan berdiri bersamaku sehingga dia dan aku berdarah dan berasa pedih. Namun, kemudian dia menuju ke satu ke jalan dan meniti jalan lain.”
Sayang sekali, perasaan cinta Sayyid Quthub berakhir dengan kesedihan. Gadis itu lebih menyukai orang lain dan bernikah dengannya.
Dalam keadaan hati yang luka dan pedih, Sayid Quthub menceburi dunia ilmu dan melepaskan jawatannya sebagai penyelia. Kemudian kita dapat menyaksikan karya-karyanya. Antara yang terkenal adalah Tafsir Fi Zhilal Al-Quran
Kita dapat mengambil inspirasi dan motivasi daripada kisah Sayyid Quthub. Kegagalan cinta bukan kehancuran. Mencintai, namun tidak berjaya menikahi bukan pengakhiran kepada segala-galanya.
Oleh itu, teruskan berusaha melupakan dirinya dan kenangan kisah silam.
Apa yang penting, kita perlu berusaha menggali hikmahnya.




Sekiranya belum terungkap, jangan biarkan hal kisah silam itu menjadi beban trauma yang dapat mengekang prestasi kita pada masa akan datang

Lihatlah kelebihan pada pasangan kita sekarang

Penting untuk kita melihat semula apa sahaja kelebihan pasangan kita. Lihat isteri, pasti dia juga memiliki kelebihan seperti dia yang dahulu. Begitu juga para isteri, lihat suami masing-masing. Kita pasti akan menemui kelebihan pada dirinya. Mungkin wajahnya kurang tampan, tetapi akhlaknya menawan. Walaupun kadangkala menjengkelkan, tetapi dia tidak pernah berhenti memberi wang pada setiap bulan.
Walaupun kekurangan harta, akhlaknya luar biasa, ilmu, dan pemahaman agamanya luas. Bukankah itu yang menjadi jalan untuk kita tiba di Syurga?
Allahuma Amin

Tiada yang salah dengan perancangan-Nya. Mulakan dengan berprasangka baik, sentiasa berpegang teguh kepada istiqamah dan keikhlasan pada apa jua yang Allah SWT tetapkan


credit :  ISLAM dan Blog Aku ISLAM

Monday, October 28, 2013

Seorang Isteri yang SETIA...


Seorang isteri...
Walau diduga bermacam ujian
Dia akan sentiasa setia di sisi suaminya
tanpa meminta apa-apa balasan
Setiasa seorang isteri malah sentiasa mendorong
suaminya hingga rumahtangga mereka bahagia
Dia juga menangis tatkala berduka
namun di dalam hati kecilnya 
tidak di hadapan suaminya
kerna tidak mahu suaminya berduka
Dia benar-benar seorang isteri yang setia...


Suhaiza Shuhaimi?AllahisEnoughforMe/29 Oct '13/13:58 at hostel/

Saturday, January 19, 2013

Setia Seorang ISTERI...



      Wanita yang matang biasanya pandai menguruskan perasaan. Kekuatannya terletak pada keyakinan diri bahawa dia tidak akan larut dalam emosi negatif yang merosakkan peribadinya. Isteri solehah faham dan yakin hanya suaminya sahajayang berhak ke atas hati dan cintanya. Satu untuk selamanya, dunia dan akhirat. walaupun sang suami bukan cintanya yang pertama tetapi biarlah cintamu yang terakhir hanya untuknya. jika bekas kekasih hadir lagi mengisi ruang hidupmu, jangan sesekali berikan peluang memori indah mengelabui perasaanmu itu. walaupun di sudut hati  pasti tersisa kenangan manis ketika masih bersama bersama dia, hal ini tidak mungkin dapat dinafikan namun anggaplah ia sebagai satu mimpi yang sememangnya bukan realiti.

         Sesiapa pun boleh hadir di hatimu tetapi hanya dirimu yang memegang kendali hatimu sendiri bukan lelaki itu! cuba ubati hatimu dengan mengingati Allah, berdoa seperti mana diajarkan Rasulullah SAW :

         "Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkan lah hati hambaMu di atas jalanMu."

    Jangan biarkan ia mempengaruhi perasaanmu kerana sehebat apa pun pujuk rayu rindunya, jika tidak melayan, denagn izin Allah ia tak akan menjadi, jadi jangan layan! Ramai lagi orang yang rindukan layananmu, tumpukan hidup untuk kerjaya suami dan keluarga tercinta. Itu semua sungguh menyibukkan dirimu, jadi mana sempat nak melayan memori asmara yang telah basi!

     Ingatilah kemanisan cinta suami yang telah membina impian bersama anda. jangan sesekali membandingkan suami mu dengan lelaki itu. jika dirimu melakukan itu, sebenarnya dirimu telah membuka satu pintu untuk si penceroboh masuk ke laman hatimu. Isteri yang kerap meyebut kekurangan suami pada hakikatnya dia telah membutakan matanya sendiri. mungkin banyak kelemahan suami tetapi jangan lupakan kelebihannya. Jika bekas kekasih anda pandai segalanya, belum tentu dia sanggup berkorban seperti mana pengorbanan suami yang telah terbukti pengorbanannya!


     Mengapa Allah menjadikan dirimu dan suami pasangan yang serasi? Kerana kelemahan mu menjadi tarikan bagi suami menguatkannya dan begitu sebaliknya. Hiduplah engan gembira di atas kelemahan dan kelebihan yang dianugerahkan Tuhan. Semua itu sebahagian daripada kemanisan bercinta. wanita yang beriman kepada suaminya berhak ke atas semua pintu syurga apabila dia sanggup menjaga diri dan maruah keluarga. Jangan biarkan hatimu yang solehah dikotori oleh khayalan tentang lelaki itu. Hati biarlah suci kerana di situlah jatuhnya pandangan kasih dan rahmat Allah swt


Suhaiza_Shuhaimi/AllahisEnoughforMe/20 Jan '13/ at my sweet home


Wednesday, November 7, 2012

Suami Isteri : Berbaloikah Hubungan Jarak Jauh?



Rasa untuk bernikah adalah fitrah yang ALLAH datangkan dalam diri setiap hambaNYA. Manusia merindukan kasih sayang hidup berpasangan. Kita menginginkan kemesraan dan kebahagiaan melingkari kehidupan bila mana kita memilih untuk bernikah.
Namun situasi hari ini, suami dan isteri kadang-kadang menghadapi dilema perpisahan - perhubungan jarak jauh - kerana tuntutan kerjaya. Berjumpa sebulan sekali atau dua kali. Atau jarang sekali.
Si isteri bekerja di negeri atau negara lain dengan gaji yang selesa. Si suami juga berada di tempat kerja lain, yang mungkin juga di kampung halaman sendiri yang menjadi keselesaan dan keutamaan.
Lalu apakah nilai pernikahan jika dihambat perpisahan dan kejauhan?
Suami mengharapkan belaian cinta kasih isteri, yang dulunya haram.. kini setelah halal bermesra-mesra , namun berjauhan pula?
Isteri berharap suami menjadi teman cinta yang melindungi dan menjaga dirinya dalam pelbagai perkara, namun suami jauh terpisah oleh sempadan negeri dan negara?
Rezeki dan Ekonomi 
Pandangan peribadi saya, isteri lah yang wajar mengikut jejak suami, walau di bumi mana sekalipun suami bertugas. Apatah lagi, jika ia adalah permintaan suami, maka isteri wajib berusaha untuk taat dan melepaskan kerjayanya. (Namun ada kerjaya tertentu seperti tentera, kelasi dll yang pastinya tidak memungkinkan isteri mengikut suami).
Kewajipan untuk taat dan mengikut suami bukanlah syariat ALLAH yang zalim. Maha Suci Allah dari semua itu. ALLAH sebaik-baik penyusun kehidupan, maka kita bersangka baik bahawa semua sistem dan peraturan yang ALLAH letakkan antara suami dan isteri adalah untuk memelihara kehidupan bekeluarga.
Kalau berhenti kerja, atau bertukar kerja.. akan memberi kesan kepada gaji dan pendapatan?
Usah bimbang, yakinlah ALLAH adalah pemberi rezeki yang sempurna. ALLAH menyusun setepat-tepatnya rezeki buat kita semua – suami, isteri, anak-anak, ibu bapa hatta setiap manusia itu ALLAH telah tetapkan rezekinya.
Kita hanya perlu berusaha pada kadar yang kita mampu.
Jika suami meminta isteri berhenti kerja, suami juga menyatakan kemampuan menanggung isteri sepenuhnya, subhanallah..inilah yang terbaik. Terbaik kerana terungkap dalam firman ALLAH, bahawa lelaki itu yang seharusnya menyara kehidupan seorang isteri.
Maka dengan keringat suami bekerja, akan cukup makan minum dan pakai seorang isteri. Punya tempat berteduh. Punya kenderaan yang boleh membawa suami dan isteri ke mana-mana.
Namun harus diingat, gaji suami tak akan pernah cukup untuk isteri yang 'high maintenance'.. banyak keinginan material dan punya nafsu shopping atau berbelanja yang tinggi..
Selain itu, benar sekali kata-kata yang biasa didengar "anak itu rezeki..".
Ya, ALLAH jua telah tetapkan ada rezeki untuk anak-anak itu, kita hanya berusaha mencarinya dengan cara yang terbaik, bukan dengan cara yang boleh mengancam hubungan suami isteri.
Mak ayah kita orang susah...?
Bantulah ibu dan ayah mengikut kemampuan kita..dan sebenarnya, adakah ibu dan ayah hanya perlu pada duit dan sumbangan material kita?
Tak. Maka jangan disempitkan erti memberi dan berbakti pada ibu dan ayah.
Sesungguhnya ibu bapa memerlukan anak yang soleh itu lebih dari segala-galanya.
Anak yang soleh, mendoakan keselamatan dan kebahagiaan ibu ayah di dunia dan akhirat. Apatah lagi jika ibu dan ayah semakin tua, anak-anak terlebih lagi perlu mengingatkan ibu dan ayah kepada dunia yang akan habis dan ditinggalkan.
Berharganya pemberian anak-anak bukan pada nilai ringgit malaysia dua ratus atau dua ribu sebulan, tapi pada keikhlasan dan istiqamah dalam menghulurkan. Ini yang menjadi nilaian ALLAH.
Anak yang soleh adalah anak yang bertaqwa. Bukankah ALLAh telah berjanji, akan sentiasa ada rezeki buat hamba-hambaNya yang bertaqwa?
Dan bertaqwa itu datangnya dari ilmu. Maka suami dan isteri usahakan mencari ilmu agama dan dunia dengan seimbang. Dalam sibuk mencari rezeki, usahakan ke kelas agama- belajar Al Quran dan Hadis, belajarlah ilmu-ilmu ALLAh yang memandu kita kepada kebahagiaan sebenar.
Supaya kemudian, bila ilmu dan taqwa menjadi bekal diri... hati merasa lapang, lagi merasa cukup dengan pendapatan bulanan. Mampu menjadi suami dan isteri yang bahagia bersyukur dengan rezeki ALLAH.
Dan yang penting juga, perlu memiliki pengurusan kewangan yang baik. Selain belanja kita suami isteri, hutang-hutang, bil-bil, sewa rumah dan kereta, jangan lupa masukkan dalam bajet bulan – sumbangan atau sedekah kita pada ibu ayah, adik beradik dan ahli keluarga terdekat. Boleh juga disediakan bajet untuk sedekah pada insan-insan yang memerlukan.
"If you want to feel rich, just count all of the things you have that money cannot buy "
Setelah mengatur kewangan dengan baik, setelah berusaha dan berdoa pada ALLAH agar dilapangkan rezeki...apakah masih tidak cukup gaji bulanan..?
Ayuh muhasabah harta benda yang dimiliki..Mungkin ada di sana sini yang kita berbelanja mengikut nafsu..
Berapa almari pakaian kita? Berapa banyak handbag kita? Berapa pasang kasut yang kita miliki? Jam tangan, handphone, alat make-up, perhiasan diri dan rumah... semua ini dibolehkan namun bersederhanalah.
Duduk jauh vs duduk sekali
Setelah duduk satu rumah, hari-hari bertemu muka... awal-awalnya kalian merasakan kebahagiaan hidup berdua. Saling memanjai, saling berkasih sayang, segala aktiviti terasa 'sweet' dan indah.
Dalam masa yang sama, berhati-hatilah dengan tipudaya syaitan. Syaitan telah bersumpah di hadapan ALLAH untuk memecahbelahkan kasih sayang dan persaudaraan. Rasul SAW juga mengungkap dalam hadisnya bahawa syaitan sentiasa bersama kita dalam setiap keadaan , dan mudah mempengaruhi bila kita lupakan ALLAH.
Dan syaitan yang paling hebat mendapat pengiktirafan di kalangan 'geng' mereka adalah, syaitan yang berjaya memisah-misahkan suami isteri..
"Dulu masa bercinta ok je? Dulu masa duduk jauh ok je? Kenapa sekarang macam banyak je yang tak kena.. Asyik nak bergaduh..."
Saat berjauhan, hati sering merindu. Ada rasa teruja dan bersemangat menanti pertemuan saban minggu atau saban bulan. Hati dan diri berusaha memberi yang terbaik pada pasangan.
Namun bila duduk satu rumah, semakin banyak perkara yang dihadapi bersama, pastinya suasana menjadi lain. Apatah lagi perasaan cinta selepas bernikah, sukar untuk terus segar seiring dengan masa.
Percayalah..semua pasangan akan berkonflik untuk fasa membangunkan keserasian dan kefahaman.
Jadi harus positif, bersedia untuk belajar dan berubah. Kebahagiaan dalam pernikahan tidak subur dengan sendirinya, perlu konsisten berbuat baik, perlu bermujahadah untuk berakhlak baik, perlu ikhlas... mencintai dan melayani suami dan isteri kerana benar-benar inginkan redha tuhan.
Jika tidak ikhlas mencintai manusia kerana ALLAH , hati terasa sakit mencintai manusia. Tanpa ALLAH di hati, hati tak mampu memaafkan.

Ujian bakal menerpa silih berganti. Ujian kewangan, ujian mertua dan ipar duai, ujian hubungan seksual, ujian kerjaya, ujian komunikasi dan lain-lain lagi bentuk ujian kecil dan besar...
Malah betapa banyaknya pasangan yang rasa 'sesak dada' menghadapi pelbagai-bagai perbezaan yang seakan menghapuskan cinta yang pernah mekar di dalam dada. Perbezaan psikologi lelaki dan perempuan, cara bertindak, dan cara berperasaan..jika tidak berusaha difahami, isteri semakin bosan dengan gelagat suami, suami semakin bosan juga dengan kerenah isteri..
Juga cara berpenampilan, cara makan dan minum, cara tidur, cara mengemas, cara menjaga kebersihan, cara bersosial, cara mendidik anak, cara bershopping... salah satunya atau kebanyakkan perkara ini jika tak ditangani dengan baik menjadikan hati-hati kita kecewa dengan pernikahan.
Malah jika semua bentuk-bentuk ujian ini tidak dihadapi dengan emosi dan pemikiran yang matang, bersedialah anda untuk bercerai selepas dua tiga tahun usia pernikahan..
Perkongsian ini bukan untuk menakutkan, tapi dari pengalaman isteri-isteri /jua suami-suami yang berkongsi permasalahan.
Ayuh belajar berkomunikasi dengan baik dalam hubungan pernikahan yang dijalin ALLAH ini. Ungkapkan terima kasih dan penghargaan atas perkara kecil dan besar yang dilakukan pasangan. Nyatakan ketidakpuasan hati jua teguran dengan hikmah dan bijak. Saling menasihati dengan kesabaran dan kasih sayang..
Oleh itu, andai diri bersedia untuk duduk dekat dan serumah dengan suami, bersedialah mental dan fizikal untuk melaksanakan kewajipan sebagai isteri, sebaiknya dan seikhlasnya.
Bagi yang bujang, ada yang sering merasa 'kecederaan hati' melihat kebahagiaan pasangan yang gambar bahagia terpapar di mana-mana blog atau forum maya, namun realitinya.. Di sebalik gambar-gambar dan wajah-wajah bahagia itu, ada pasangan suami isteri itu yang lebih 'tercedera' lagi hati mereka dengan sikap pasangan dan situasi rumahtangga yang diuji.
Isteri Sebagai Pencorak Rumahtangga
Dalam sebuah buku yang saya baca, jatuh bangun sesebuah rumahtangga banyak ditentukan oleh peranan isteri dan ibu. Kejayaan dan kegagalan seorang suami juga ada pengaruh besar dari isteri. Maka atas sebab itulah, saya memberi pandangan bahawa yang terbaik adalah isteri menjadi isteri dan ibu sepenuh masa. Tanpa perlu bekerja pada mana-mana majikan lain.
Cukuplah ALLAH dan suami menjadi majikan. Isteri dan ibu fokus pada membina keluarga yang menjadi tempat berteduh yang nyaman dan harmoni buat suami dan anak-anak. [Dalam masa yang sama, ada pertimbangan-pertimbangan lain yang kita bersetuju bilamana isteri terpaksa bekerja.]
Suami akan tenang bekerja, dan kuat menghadapi tanggungjawab lain di luar rumah dengan adanya isteri di rumah yang juga tenang dan kuat. Tenang lagi menenangkan. Isteri yang berilmu dan beriman. Isteri yang hatinya luas dengan kasih sayang, sabar dan bijak menghadapi suami yang stress dengan kerjaya dan ujian lain. Isteri yang cekap menguruskan kerja-kerja rumahtangga dan berhemah menguruskan belanjawan rumahtangga.
Namun bila bekerja, isteri seakan telah habis emosinya di tempat kerja, dengan bebanan kerja yang meragut senyuman dan ketenangan hati seorang isteri dan ibu. Pulang ke rumah, suami dan anak-anak tidak punya wajah teduh seorang isteri dan ibu, kerana ibu juga pulang bekerja dengan rasa kepenatan mengejar dateline dan seribu satu tugasan di tempat kerja.
Pada wanita yang terpaksa bekerja, moga ALLAH membantu meringankan beban kalian menghadapi tanggungjawab mencari rezeki..moga ada jalan keluar untuk masalah ekonomi yang tak kunjung sudah..
"Bosannya duduk rumah..."
Bosan akan kadang-kadang menimpa, bukan sekadar pada isteri yang duduk di rumah, mereka yang di tempat kerja juga kadang-kadang merasa bosan dan malas dengan rutin kerja seharian..
Ya, harus saya akui kadang-kadang hadir rasa bosan tinggal di rumah bersama anak dan melakukan kerja-kerja rumah, namun itu adalah perasaan yang sangat manusiawi. Maka saya mencari aktiviti-aktiviti pelbagai yang boleh dilakukan di dalam dan luar rumah, selagi dalam batas syariat ALLAH, agar kita dapat menjaga semangat dan keikhlasan dalam berkhidmat untuk keluarga..
Malah dengan adanya dunia tanpa sempadaan di alam maya, maka pelbagai bisnes dan aktiviti yang boleh mendatangkan keuntungan di lakukan secara online. Belajarlah ilmu ini dari yang telah berjaya melakukan.
Jangan sekadar menghabiskan jam-jam yang bayak depan internet, hanya sembang kosong, bergosip ..namun jadikan kemudahan internet sebagai ruang untuk menambah pendapatan, menambah ilmu agama dan dunia, untuk mempertingkat kualiti diri sebagai manusia melalui laman-laman web yang membina.

Penghilang bosan yang utama adalah mengingatkan diri kita hakikat kehidupan. Kita dalam perjalanan pulang bertemu tuhan..kalau bosan, tidak boleh berlama-lama. Kalau sedih, usah larut panjang berjela. Kalau marah, tahanlah semampunya, maafkanlah semua..Mintalah maaf dari orang yang kita lukai, mohonlah ampun pada ALLAH..
Kuatkan hati, bangun semula..
Bila telah memilih berhenti kerja kerana mengikut suami, jangan menyesali keputusan yang dibuat.
Berbaloikah pengorbanan kita meninggalkan kerjaya yang stabil, hanya untuk melalui ujian rumahtangga yang sebegini..?
Berbaloi insyaALLAH.. Kalian memilih berhenti kerja, kerana cinta dan niat murni memberi yang terbaik untuk suami dan keluarga, maka ALLAh akan menjaga kalian. ALLAH adalah sebaik-baik pemelihara diri kita, dan pemelihara cinta kita.
Yakinlah. Berusahalah menjadi hamba yang soleh. Berimanlah pada ketentuan tuhan.
Moga pilihan kita hari ini akan memberi makna dan nilai yang besar pada saatnya waktu bertemu tuhan.

Tuesday, February 7, 2012

POLIGAMI : MADU ITU PAHIT?







     





 

       Wanita, sinonimnya apabila disentuh isu poligami kebanyakkan tidak ‘senang duduk’ mendengarkannya. Suami berkahwin satu lagi, isteri kedua, bermadu dan paling tepat sekali ialah poligami. Poligami beerti mengamalkan beristeri lebih daripada satu iaitu dua, tiga atau had maksimumnya ialah empat dalam satu masa. Namun, poligami bukan sesuatu yang boleh di anggap mudah bagi yang berhasrat untuk melakukan. Banyak syarat, prosedur dan perkara-perkara yang perlu diambil kira untuk mencapai poligami yang mengikut kehendak agama Islam.


Allah swt berfirman :
“Maka berkahwinlah (dengan) sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuan-perempuan (lain) dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”
                                                                                                                                                                (Surah al-Nisa’ : 3)

Antara sebab mengapa Islam mengharuskan poligami :
1. Lelaki atau suami mempunyai dorongan nafsu syahwat yang luar biasa sehinggakan isteri tidak  dapat
    memenuhi keinginannya.
2. Keadaan isteri yang sentiasa uzur dan sabit membolehkan suami berkahwin lagi.
3. Menjadi pembela kepada kaum wanita yang menjadi balu atau janda setelah suami gugur dalam berjihad
    menegakkan agama Allah.
4. Menyelamatkan kaum wanita  ‘andalia’ yang belum berpeluang mendirikan rumah tangga.

                Sebenarnya, ‘madu’ yang dianggap pahit bagi sesetengah wanita, boleh memberi  kemanisan lebih daripada madu yang dimakan sebagai penawar. Apabila suami berhasrat untuk berkahwin lain, dan dia mampu berlaku adil dari segi material dan spiritual (ilmu agamanya), tidak layak sebenarnya kita sebagai isteri untuk menghalang hasrat tersebut. Seorang isteri haruslah mempunyai fikiran yang positif menerima kenyataan itu. Bukan mengamuk seperti harimau ganas, meraung seperti kucing hilang anak, malah paling teruk pergi berjumpa bomoh dengan sanggup menyekutukan Allah. Hingga melanggar batas-batas dan hilang pertimbangan.
                
             Tahukah anda andai seorang isteri redha, syurga itu telah menjadi milik anda. Cuba fikir sejenak, bukankah dengan adanya madu, hidup kita akan lebih baik. Sebagai contoh sebelum ini setiap hari seorang isteri perlu melayan suami, makan minumnya dan pakainya, nafkah dari segi zahir dan batin. Isnin hingga ke Isnin seterusnya, dan sampai bila-bila hingga akhir hayatnya. Namun, apabila dia mempunyai madu, bayangkan bukan setiap hari dia perlu melayan suaminya. Tugas-tugas sebelum ini menjadi ringan dan bolehlah isteri pertama berehat, sementara isteri kedua melunaskan tanggungjawab yang sama kepada suami. Begitu juga, apabila ada madu sekurang-kurangnya kita ada teman berbual, berkongsi rasa dan sahabat yang paling dipercayai selain suami. Banyak perkara sebenarnya dapat kita lakukan bersama madu andai kita ikhlas dan redha menerimanya. Terimalah dia seadanya dan anggaplah dia kiriman dari Allah iaitu bonus dalam mencari pahala untuk ke syurga. Tidak mahukah kita payung emas di sana kelak?

Bagi wanita yang hatinya tegar untuk menerima hakikat suami berkahwin lain dan masih belum tidak mampu untuk menerima kenyataan suami berkahwin lain. Pujuklah hati dan motivasikan diri anda.

Ingatlah firman Allah swt :

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ianya baik untukmu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ianya buruk bagimu. Dan Allah Maha Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.”
                                                                                                                                             
 (Surah al-Baqarah : 216)
                
       Terimalah realiti dengan bersandar pada Allah swt. Bersangka baiklah pada Allah. Andai anda menerima ia sebagai ujian, ianya dapat menyucikan dosa anda. Andai anda menerimanya sebagai cabaran, ianya dapat mendidik diri anda menjadi wanita yang cekal dan tabah.  Berbaliklah kepada ilmu Allah, jika anda faham hikmah disebaliknya yang bakal anda kecapi. Yang kedua, aktifkan fizikal dan mental anda. Memberi tumpuan kepada bacaan al-Quran dan hadis. Fahami ia hingga menjadi serasi dengan diri anda. Pastikan anda sentiada dalam keadaan aktif dan gembira. Kemas dan bersih menjadikan anda lebih bertambah mood dalam meneutralkan emosi anda. Yang akhir sekali, jika suami boleh membahagi cinta kepada isterinya yang lain, anda juga boleh berbuat demikian. Bukan bermaksud kepada lelaki lain tetapi kepada Allah, Rasul, ibu bapa dan anak-anak serta manusia seluruhnya. Cinta itu sifatnya universal. Apabila kita mengasihi makhluk lain, nescaya kita juga turut akan dikasihi.
                
           Walaubagaimanapun, sedarlah wahai isteri. Suami bukanlah hak milik kita semutlaknya. Saat akad dilafazkan, saat itu juga Allah telah meminjamkan suami kepada kita sebagai sumber menggapai redha Allah di dunia dan pahala untuk akhirat. Suami bukan segala-galanya pengakhiran hidup kita. Saat kita memejam mata nanti, dia tidak akan turut serta mengikut kita ke sana. Hanya amalan kita bersamanya yang akan bersama. Terimalah hakikat suami adalah hak mutlak Allah swt Tuhan yang Menciptakanya. Wallahualam.

Suhaiza_shuhaimi/AllahisEnoughforMe/6 Februari 2012

Monday, August 15, 2011

Hukum Pertunangan

A. ERTI KHITBAH / TUNANG 

"Khitbah" (Bahasa Arab) / "bertunang" (Bahasa melayu) adalah muqaddimah atau permulaan kepada az-zawaj(Bahasa Arab) / nikah atau kahwin (Bahasa Melayu). Sesungguhnya Allah menjadikan khitbah sebagai salah satu dari syariat-syariat / perundangan-perundangan Agama Islam. Apa hikmat, faedah atau kelebihannya??? Kerana khitbah memberi peluang kepada kita semua untuk at-ta'arruf / berkenalan dengan pasangan masing-masing dari segi zahir dan batin sebelum kita bernikah atau berkahwin.

"Khitbah" (bahasa Arab) bererti "bertunang"(bahasa Melayu). "Tafsiran" lafaz atau perkataan "bertunang" ini berbeza mengikut tempat, kawasan, adat dan suasana masyarakat masing-masing. Berbeza di antara negara Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia. Dan kemungkinan berbeza juga di antara beberapa tempat, adat, suasana serta kawasan-kawasan di dalam negara masing-masing. Contohnya di dalam Indonesia, tafsiran "bertunang" di Medan dan Jakarta berbeza. Di dalam Thailand, tafsiran "bertunang" di Bangkok dan Pattani berbeza. Begitulah seterusnya di tempat-tempat lain.

"Khitbah" di dalam bahasa Arab apabila diterjemah maknanya ke dalam Bahasa Melayu bermakna 'melamar' wanita untuk dijadikan bakal isteri. "Melamar" ini juga bermakna meminta persetujuan pihak wanita untuk menjadi isteri kepada pihak lelaki. Khitbah ini memakan 'masa' berdasarkan kebiasaan atau adat yang masyhur dipegang kawasan, tempat, adat dan suasana masyarakat.

"Khitbah" juga bermakna proses lelaki meminta dari pihak perempuan untuk berkahwin dengan cara-cara atau jalan-jalan yang diketahui masyhur di tempat masing-masing.(Fiqh Assunnah oleh Syed sabiq).

"Khitbah" juga membawa makna menzahir dan mengiklankan kehendak / kemahuan seseorang untuk berkahwin dengan seseorang wanita.(Fatawa Muasoroh oleh Dr. Yusof Al Qardawi). Dr. Yusof Al- Qardawi juga berkata (buku yang sama) bahawa di dalam khitbah / bertunang ini tidak ada "hak" bagi khatib(tunang lelaki) kecuali hak untuk melamar ( to reserve or booking) makhtubah (tunang wanita) semoga pihak lelaki selain darinya tidak datang untuk meminang wanita itu
.



B. HUKUM KHITBAH / BERTUNANG DI DALAM ISLAM 
Saya bertanya kawan saya tentang hukum "khitbah/bertunang" ini kepada kawan-kawan saya yang faham dan alim. Dan saya juga rujuk buku agama yang ada menceritakan tentang khitbah/ bertunang ini.

Hukum khitbah ini adalah "harus" tetapi Imam As-Syafie(sila rujuk buku Mughni Almuhtaj) mengatakan hukumnya adalah "al-istihbab / sunat". Dan Dr. Abd. Karim Zaidan(sila rujuk buku Almufassal fi Ahkam Al
Mar'ah mengatakan bahawa hukum "al-istihbab / sunat" ini lebih aula(utama / baik) dari hukum "harus" tadi.


C.  DALIL ATAU BUKTI DISYARIATKAN (DIPERUNDANGKAN) KHITBAH / TUNANG 

Dalil atau bukti di"bolehkan" khitbah / tunang ini terlalu banyak. Contohnya ialah...

1) Hadis Rasulullah saw yang mafhumnya: " tidak halal bagi kamu penjualan di atas penjualan orang lain dan tidak halal bagi kamu pertunangan di atas pertunangan orang lain".

Mengikut hadis ini kita faham bahwa kita tidak dibenarkan oleh syarak untuk meminang seseorang wanita / laki pabila wanita / laki itu sudah dipinang orang. Ini dalil dibolehkan 'khitbah' tetapi, dalil ini tidak 'soreh' / tidak terus (indirect). Ulamak dan orang-orang yang 'faqeh'/ faham hukum-hakam mengambil hukum "boleh" khitbah dalam Islam dari sini. Bagaimana?? Begini, cuba rujuk hadis ini semula. Khitbah dibolehkan dalam Islam, tetapi yang tidak bolehnya ialah meminang seseorang wanita / laki di atas pinangan orang lain. Maka, khitbah boleh. Moga anda semua faham.

2) Hadis. Dari Jabir bin Abdillah bahawa Rasulallah saw bersabda: " Apabila salah seorang dari kamu bertunang, maka jika sekiranya dia boleh melihat wanita itu hingga membawa kepada kehendak atau kemahuan untuk bernikah / kahwin, maka lakukan!!! ". Berkata Jabir (perawi) hadis ini: " aku telah bertunang dengan wanita dari Bani Salamah, aku telah bersembunyi tanpa dilihat oleh wanita itu sehingga aku melihat sebahagian dari 'diri / tubuh badan' wanita itu yang boleh membawa kepada kehendak dan kemahuan aku untuk menikahi atau mengahwininya".

Dua dalil di atas dipetik dan diambil dari buku Fiqh Assunnah oleh Syed Sabiq.



D. TEMPOH ATAU MASA YANG DIBENARKAN OLEH SYARAK UNTUK BERKHITBAH / BERTUNANG 

1. Tempoh / masa khitbah yang dipersetujui oleh jumhur ulamak (ramai Ulamak) ialah tempoh yang tidak panjang atau lama.

2. Jumhur ulamak (ramai Ulamak) berselisih pendapat dalam mentafsirkan / menentukan makna "tempoh panjang / lama" itu. Berapa hari, berapa minggu, berapa bulan, berapa tahun.

3. Maka tempoh ini semua ditentukan oleh 'uruf / adat yang masyhur dipegang di sesuatu tempat.

4. Jika di sesuatu tempat mentafsirkan tempoh lama satu HARI, maka satu harilah yang mesti dipegang oleh sesiapa yang menjalankan khitbah ini.

5. Jika di sesuatu tempat mentafsirkan tempoh lama satu MINGGU, maka satu minggulah yang mesti dipegang oleh sesiapa yang menjalankan khitbah ini.

6. Jika di sesuatu tempat mentafsirkan tempoh lama satu BULAN, maka satu bulanlah yang mesti dipegang oleh sesiapa yang menjalankan khitbah ini.

7. Jika di sesuatu tempat mentafsirkan tempoh lama satu TAHUN, maka satu tahunlah yang mesti dipegang oleh sesiapa yang menjalankan khitbah ini.

Ini semua contoh yang saya berikan kepada anda semua. Maka lepas ini boleh anda rujuk sendiri 'tempoh' atau 'masa' ini kepada mereka yang tinggal di kawasan anda. Tanyakan, biasanya di tempat anda ini berapa "tempoh paling lama" khitbah / bertunang ??? Jika 2 hari, 3 minggu, 4 bulan atau 5 tahun (contoh), maka semua ini terpulang kepada 'uruf / adat di sesuatu tempat, adat, kawasan dan suasana. Semoga anda faham.

*** 'uruf == adat yang masyhur dipegang di sesuatu tempat.



E.  HUKUM BERKHALWAT DENGAN TUNANG... (KHATIB-TUNANG LELAKI, MAKHTUBAH-TUNANG WANITA

HARAM BERKHALWAT / DUDUK DITEMPAT SUNYI(menimbulkan fitnah) BERSAMA DENGAN TUNANG???

Agama Islam mengharamkan "khalwat" ini kerana ianya diharamkan ke atas tunangan ini sehinggalah mereka diakad(ijab dan qabul) dan dinikahkan. Maka lepas akad (ijab dan qabul), maka haruslah bagi pasangan laki dan wanita ini untuk berdua-duaan tanpa menimbulkan fitnah lagi. Dan hikmah, faedah dan kelebihan "haram khalwat" ini ialah untuk mencegah terjadinya maksiat. Sabda Rasulallah saw yang bermaksud: " Tidak halal bagi seseorang lelaki berkhalwat dengan seseorang wanita yang tidak halal buatnya kecuali ditemani mahram (mahram-orang yang diharamkan nikah / kahwin dengannya. Maka orang atau pihak ketiga yang ada bersama-sama ketika mereka berdua berkhalwat itu adalah syaitan". (sila rujuk buku Fiqh As-Sunnah oleh Syed Sabiq).

Dr. Yusof Al Qardawi (Fatawa Muasoroh) berkata: " selama mana akad kahwin (ijab dan qabul) belum ditunaikan oleh tunang laki dan tunang wanita (belum sah nikah / kahwin mereka mengikut 'uruf -adat, syarak dan undang-undang), maka keadaan masih seperti hukum asal. Iaitu:-

1. Tidak halal dan haram bagi makhtubah (tunang wanita) untuk berkhalwat(berdua-duaan sehingga menimbulkan fitnah) dengan khatibnya (tunang lelaki) KECUALI bersama-sama mahtubah (tunang wanita) itu ada salah seorang mahramnya seperti ayahnya atau abangnya.

2. Tidak halal dan haram bagi makhtubah (tunang wanita) untuk bermusafir atau melancong dengan khatibnya (tunang lelaki) KECUALI bersama-sama mahtubah (tunang wanita) itu ada salah seorang mahramnya seperti ayahnya atau abangnya.]

*** mahram == mahram-orang yang diharamkan nikah /kahwin dengannya (dengan wanita itu)
*** 'uruf == adat yang masyhur dipegang di sesuatu tempat
.







halaqah.net