"Manusia adalah selemah-lemah makhluk yang diciptakan oleh Allah SWT.,dunia hanya sementara, akhirat adalah selamanya., be a truly muslimah..InsyaAllah.."

Tuesday, December 17, 2013

Hakikat Sebuah Kematian

Setiap makhluk yang bermula pasti akan berakhir. Setiap yang bernyawa tetap akan mati. Cuma saat-saat kematian itu sahaja tidak diketahui.

Firman ALLAH yang bermaksud :

" Dan tidak ada satu diri akan mati melainkan dengan izin ALLAH pada suatu waktu yang telah ditentukan. Dan barangsiapa yang berkehendakkan ganjaran dunia Kami (ALLAH) akan beri padanya. Dan barangsiapa yang berkehendakkan ganjaran akhirat, Kami (ALLAH) akan beri padanya. Dan akan Kami (ALLAH) berikan pembalasan yang baik bagi orang yang bersyukur iaitu orang yang tahu berterima kasih". (Ali-Imran:145)


Kematian merupakan satu kalimah yang amat ditakuti oleh sebahagian besar dari makhluk yang bernyawa. Ia pasti datang. Tidak ada sesiapapun yang berupaya menangkis atau mengelakkan diri dari kedatangan mati.

Inilah ciri-ciri peraturan yang ditetapkan oleh ALLAH keatas setiap insan atau makhluk yang menghuni alamNYA. Tetapi apakah perjalanan hidup seseorang itu cuma berakhir dengan kematian sahaja?

Setelah manusia melalui tahap-tahap kehidupan dunia yang singkat ini, maka perjalanan akan diteruskan ke alam lain yang meliputi alam barzarkh dan alam akhirat. Alam barzarkh dilalui antara masa hidup di dunia dan masa kebangkitan (yaumul-ba'atas) pada hari kiamat.

Adapun tahap-tahap tersebut meliputi, saat dicabutnya roh, saat menuju tanah perkuburan, soalan Munkar dan Nankir, suasana di alam barzarkh, pertunjukan tempat (ardhul maq'ad). Kemudian disusuli pula dengan hari kebangkitan, hisab, meniti titian sirath dan pembalasan syurga dan neraka.

Ketika berada di alam barzarkh jasad seorang insan sudah tidak berdenyut lagi. Ia akan reput, berkecai dan hancur dibaham tanah. Yang bakal tinggal nanti cuma roh yang halus yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Dari liang lahad yang menjadi tempat persemadian jasad seseorang insan maka bermulalah perjalanan rohnya ke suatu alam yang serba aneh yang mencemaskan dan mengerikan, yang menggembirakan dan yang menghairankan.

Tiang-tiang nisan dan pusara menjadi simbol kemuncak pengembaraan jasmani seseorang insan ketika di sana. Kubur merupakan tempat bersemadi dan bilik sempit bagi mereka yang mengunci mulut masing-masing dari membaca ayat-ayat suci Al-Quran ketika hidupnya.

Kubur adalah pondok ngeri yang gelap gelita untuk mereka yang lebih mementingkan tembolok mata tanpa mengerjakan sembahyang pada waktu tengah malam. Ia juga adalah rumah yang penuh berdebu, hanyir dan penuh dengan najis-najis untuk insan yang miskin dengan amal soleh.

Kubur juga boleh menjadi rumah yang dilingkari oleh ular-ular, kala, lipan, labah-labah, penyengat dan berbagai-bagai lagi serangga yang menakutkan bagi sesiapa sahaja yang berat bibir mereka dari menyebut nama ALLAH ketika hendak memulakan sesuatu pekerjaan.

Dan kubur juga adalah sebuah rumah pertanyaan Malaikat Munkar dan Nankir yang paling menggerunkan keatas mereka yang malas memperbanyakkkan bacaan kalimah syahadat ketika hidup didunia.

Di samping sifatnya yang amat simbolik, kubur dan bumi mempunyai pertalian yang rapat bagi setiap manusia yang menjadi penghuni alam. Setiap hari bumi akan bersuara memanggil anak-anak keturunan Adam dengan seruan " Wahai anak cucu Adam, kamu berjalan diatas punggungku sepanjang hidupmu tetapi tempat kembalimu adalah didalam perutku".

Namun bagi kematian seorang mukmin yang istiqomah, adalah satu perjalanan yang mudah baginya. Seorang mukmin yang akan dicabut nyawanya, ada riwayat mengatakan bahawa terlebih dahulu beberapa orang Malaikat akan turun dari langit yang akan menghibur dan merayu serta menggembirakan mukmin yang akan dimatikan itu. Malaikat yang datang itu berwajah sangat menarik dan menyenangkan. Melihat wajah malaikat yang datang itu sahaja sudah cukup untuk melapangkan dada dan melegakan perasaan mukmin hingga ia lupa dengan dunia yang akan ditinggalkan.

Di antara rayuan itu mengatakan, " Hai hamba ALLAH, engkau akan kembali kepada ALLAH dalam keampunan dan keredhaanNYA. Begitulah, dalam keadaan penuh rayuan yang mesra, diwaktu itulah datang Malaikat Maut datang mengeluarkan roh orang mukmin itu dengan lemah lembut, serta penuh kasih sayang.

Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud :

" Sesungguhnya mereka yang mengaku Tuhan kami ALLAH kemudian mereka istiqomah (dibuktikan dengan iman dan amal soleh). Nescaya akan turun kepada mereka Malaikat yang berkata: Kamu tidak perlu takut dan bimbang, Bergembiralah kamu dengan syurga, yang demikian itu adalah janji ALLAH untuk kamu. Kamilah yang akan menjadi kawan kamu (memimpin) pada kehidupan dunia dan sampai akhirat nanti. Adalah untuk kamu (di dalam syurga nanti) apa sahaja yang kamu kehendaki dan tidak satupun permintaan kamu yang tidak dikabulkan. Sebagai satu jamuan (anugerah dari ALLAH yang tidak putus-putus) dari Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Penyanyang. (s.Fushshilat: 30-32)........


Mukmin yang istiqomah adalah mukmin yang tabah menghadapi peristiwa apapun yang datang semasa hidupnya didunia ini. Pengakuan lidahnya bertuhankan ALLAH S.W.T mampu dia membuktikannya dengan ketaatan dan beramal soleh dengan penuh keikhlasan. Mukmin yang istiqomah adalah seorang mukmin yang tidak goyang dengan apa saja yang mendatang dalam kehidupan yang ditempuhinya.


Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud :

" Dan dihampirkan syurga itu bagi orang yang Muttaqin, ini adalah janji ALLAH untuk kamu. Untuk orang yang cepat sedar dari kesedarannya lalu cepat pula dia bertaubat kepada ALLAH. Dan mereka yang kemudian itu sentiasa memelihara diri dari kejahatan. Iaitu orang-orang yang bertaqwa kepada ALLAH Yang Maha Pemurah. Takut kepada ALLAH dalam keadaan seorang diri (tersembunyi) dan hatinya sentiasa menyerah bulat kepada ALLAH. Untuk mereka yang didalam syurga itu nanti akan mereka perolehi apa saja yang mereka kehendaki. Di sisi ALLAH masih banyak lagi tambahannya. Perhatikan, sudah berapa banyak kaum yang telah ALLAH binasakan sebelum mereka. Mereka lebih kuat daripada kamu yang sekarang. Hingga mereka telah mengembara di muka bumi. Adakah di antara mereka yang lepas." 
                                                                                                            (Surah Qaf:31-36).


Berdasarkan keterangan diatas, dalam konteks kematian, nyatalah persoalan mati tidak mengejutkan hati orang yang beriman dan berilmu kerana mereka yakin bahawa disebalik kematian sana ada sesuatu yang menggembirakan. Kegembiraan yang tidak dapat dibayangkan kehebatannya kerana contohnya tidak terdapat di muka bumi ini......Jalan ke syurga akan dimudahkan untuk orang-orang yang muttaqin.

ALLAH S.W.T berfiirman yang bermaksud, " Syurga itu hampir, tidak jauh bagi orang yang muttaqin"....

ALLAH S.W.T berfirman lagi yang bermaksud, " Yang diwafatkan (diterima) oleh Malaikat yang baik, sambil berkata: Selamat atasmu, masuklah kamu ke dalam syurga dengan amal kamu yang telah pernah kamu kerjakan".


Rasulullah S.A.W bersabda : 

" Kubur merupakan satu kebun daripada kebun-kebun syurga ataupun satu lembah dari lembah-lembah neraka".................Takutkan ALLAH S.W.T ialah perkara yang sangat-sangat perlu lagi penting. Perkara inilah yang menyebabkan Rasulullah S.A.W sering duduk merenung. Mengingati maut akan menambahkan sifat takut kepada ALLAH S.W.T. Oleh sebab itulah, Rasulullah S.A.W menyarankan supaya kita sering mengingati maut kerana amalan ini penting lagi pula memberi manfaat...

SUBHANALLAH.

* Cukuplah kematian itu menjadi pengajaran buat kita.. Ya Allah, aku mengimpikan kematian husnul khatimah T_T

TAEKWONDO: Nilai-Nilai Insaniah



TAEKWONDO merupakan salah satu seni bela diri yang berasal dari Korea. Ianya sukan rasmi Korea dan telah dipertandingkan di peringkat Olimpik sejak tahun 2000. Maksud taekwondo berasal dari perkataan 'Tae' menumbuk, 'Kwon' menendang dan 'Do' cara. Jadi ianya bermaksud 'Cara Menendang dan Menumbuk'. Taekwondo diperkenalkan ke seluruh dunia oleh seorang panglima tentera Korea Selatan iaitu Jeneral Choi Hong Hi. Sejarah taekwondo di Malaysia bermula pada tahun 1962 semasa Jeneral Choi Hong Hi telah dihantar untuk menjadi Duta Korea di Malaysia. Beliau memperkenalkan taekwondo kepada masyarakat di sini dan Persatuan Taekwondo Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963. Taekwondo telah diterima oleh masyarakat di sini sehinggakan satu demonstrasi telah diadakan di Stadium Merdeka di atas permintaan Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu iaitu Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.



Taekwondo adalah merujuk kepada seni pertahanan diri. Walau bagaimanapun, perkembangan hari ini telah menjadikannya sebagai sukan atau seni bela diri. Taekwondo merupakan satu teknik seni bela diri yang menggunakan tangan dan kaki. Tetapi, objektif teakwondo yang utamanya adalah bukan untuk belajar bagaimana berlawan. Ia adalah lebih tertumpu kepada pembelajaran teknik menggunakan kaki dan tangan untuk membimbing minda dan semangat ke arah keharmonian serta meningkatkan kesihatan fizikal.

Ahli Taekwondo melakukan apa yang mereka lakukan untuk membentuk mental dan fizikal mereka untuk mencapai kesempurnaan. Latihan Taekwondo juga menekankan perjuangan memupuk dan menjaga diri sendiri. Kesabaran dan disiplin diri mampu memerangi kekuatan menerusi pengulangan latihan fizikal. Ahli Taekwondo didedahkan dengan berfalsafah hidup dan matlamat untuk mencapai keharmonian dengan minda dan badan. Kemudian keharmonian dengan orang lain, alam sekitar, negara dan alam semesta.


Empat elemen utama yang saya dapati dalam pembelajaran seni bela diri Taekwondo ini ialah:
i.                    Displin
ii.                  Generic skill
iii.                Kesihatan
iv.                Self Control

Displin

           Perkara paling utama yang ditekan kepada ahli Taekwondo yang saya perolehi ialah dari segi displin. Mana-mana ahli memang dan akan terbiasa dengan displin yang diterapkan dalam pembelajaran Taekwondo. Displin dari segi ketepatan masa ke kelas latihan. Displin dalam menghormati Master dan senior yang lebih berilmu. Displin sewaktu latihan dijalankan. Displin pada diri sendiri dan orang lain. Sebagai seorang jurulatih persilatan saya terpanggil untuk menyertai seni bela ini kerana tertarik dengan nilai-nilai yang diterapkan kepada ahli. Selama ini saya menyangka seni bela ini bersifat keras dan tidak sesuai dengan wanita. Namun jangkaan saya meleset kerana bagi saya apa sahaja seni bela diri ianya akan berbalik kepada tujuan atau asal kita mempelajarinya. Semakin dalam kita mempelajari seni bela ini, semakin kita akan dapat mengetahui betapa  halusnya seni ini dalam membentuk diri terutama sekali dalam soal displin. Mana-mana seni bela yang dipelajari perkara yang paling penting ialah penerapan displin. Melalui displin maka akan terbentuk sahsiah diri yang baik pada seseorang individu itu sendiri .


Generic Skill

    Nilai kedua yang diperolehi melalui senibela Taekwondo ini ialah ‘generic skill’. Menurut Guile (2002) definisi kemahiran generik adalah dasar dalam hubungan yang kompleks dimana ia digunakan, bergantung kepada bagaimana kemahiran ini diajar. Beliau menyatakannya dengan melihat kepada dua cara iaitu kemahiran generik dilihat khusus kepada individu dan kemahiran am diperlukan untuk berkerjasama dalam rutin persekitaran. Keduanya, kemahiran generik dilihat sebagai hubungan antara individu dan kerjanya, di mana ia digunakan untuk mengubah persekitaran kerja. aekwondo sangat berlainan berbanding seni tempur ketimuran lain. Pertama, secara fizikalnya Taekwondo sangat dinamik dengan pergerakan aktif yang merangkumi kemahiran dan formasi kaki yang mengelirukan. Kedua, prinsip pergerakan fizikalnya adalah baik dan selari dengan kesihatan tubuh dan minda. Ketiga, Taekwondo memiliki pelbagai gaya serangan dan bertahan yang dinamik lagi praktikal.
Taekwondo boleh dicirikan dengan pelbagai uniti. Uniti tubuh badan, minda, kehidupan, uniti seni gaya (‘poomsae’ atau ‘bunga silat’), uniti konfrontasi dan uniti pecahan atau patahan. Bila seseorang menggunakan atau melakukan Taekwondo, dia harus berfikiran tenang dan menyelaraskan mindanya dengan pergerakan yang dilakukan dan memperluaskan penggunaan keharmonian ini dalam kehidupan dan tatacara sosial. Kaedah ini menunjukkan bagaimana dalam Taekwondo prinsip pergerakan fizikal, prinsip latihan minda dan prinsip kehidupan menjadi satu. Manakala poomsae (bunga silat) yang betul atau tepat akan membuahkan pergerakan yang bersesuaian dalam mana-mana konfrontasi selain daripada menghasilkan kekuatan serangan yang padu.

Bagaimanakah uniti-uniti di atas boleh diperolehi melalui Taekwondo? Sebagai contoh, di dalam kehidupan, kita mempunyai kerja, menyara keluarga, berlawan dengan bersebab dan lain-lain. Apa yang membuatkan Taekwondo berbeza dengan amalan-amalan ini ialah ianya mengandungi aktiviti-aktiviti yang menyediakan pengamalnya berhadapan dengan pelbagai jenis situasi penentangan dan boleh bertahan dengan susulan konfrontasi selepasnya. Seseorang harus mengatasi mana-mana musuh yang cuba mencederakannya. Tetapi dengan memenangi sesuatu pertarungan adalah tidak cukup untuk menjamin keselamatan kerana musuh-musuh tersebut mungkin akan kembali sembuh dan mengumpul kekuatan seterusnya menyerang lagi. Tambahan lagi, akan terdapat ramai lagi musuh lain selain daripada musuh yang baru dikalahkan. Seseorang tidak boleh sama sekali rasa selamat kecuali keamanan kekal dicapai. Untuk menikmati keamanan kekal ini, seseorang perlu faham dan mahir menggunakan ciri-ciri uniti tersebut dan inilah matlamat yang mahu dicapai dengan Taekwondo. Jika tidak, Taekwondo tiada bezanya dengan cara samseng bertarung dijalanan.


Kesihatan

Di dalam Taekwondo juga, kesejahteraan kesihatan ahli juga saya lihat dapat di jaga dengan baik. Bukan sahaja kesihatan fizikal, malah mental dan spiritual. Taekwondo melatih ahlinya berhubung sesama ahli dan alam sekitarnya. Latihan fizikal perlu dialkukan secara konsisten dan berterusan untuk mendapatkan hasil yang baik bukan saja pada penguasaan kemahiran seni bela malah melatih tubuh badan mendapat kesihatan yang baik. Contoh dalam melakukan latihan secara tak lansung kita dapat membina stamina dan daya ketahanan diri pada satu peringkat tertentu. Apa yang saya lihat, bagi setiap ahli Taekwondo, stamina dan ketahanan diri adalah sangat penting kerana ia membuatkan badan menjadi ‘fitt’ secara berterusan dan tubuh akan menjadi lebih fleksible dalam penguasaan kemahiran seni belanya. Sama juga seperti di dalam persilatan, sekiranya kita meninggalkan latihan asas selama beberapa waktu, kemahiran yang kita ada akan kembali menjadi kosong. Dan kita perlu memulakan semula untuk melatih diri menguasai bunga dan kemahiran persilatan. Saya sendiri masih mengamalkan latihan asas untuk kesinambungan penguasaan kemahiran saya contoh seperti berjongging, latihan tangan dan kaki serta bunga-bunga silat. Sekaligus melahirkan tubuh badan yang sihat dari segi mental dan fizikal.


Self Control

    Penguasaan diri atau kawalan diri adalah sangat penting bagi setiap individu. Di dalam Taekwondo pembelajaran dalam mengawal diri adalah sangat baik. Pembelajaran dalam mengawal diri memberi manfaat dalam pelbagai cara. Secara mental, jika dapat mengawalnya bermakna kita berjaya menguasai diri kita sepenuhnya. Di dalam pembelajaran ini juga secara tak langsung kita boleh mengawal kemarahan diri,  masih boleh menghormati walau dalam keadaan marah dan kekerasan dan ianya tidak akan melampaui batas. Secara fizikal, kita juga belajar mengawal badan dan tingkahlaku. Di dalam Taekwondo, kita akan belajar cara menumbuk penuh dan berhenti inci jauh dari sasaran. Begitu juga dengan tendangan. Setiap ahli akan belajar secara efektif tetpi masih lagi dalam keadaan selamat serta dalam persekitaran yang terkawal.




Kesimpulannya Taekwondo mendidik pengamalnya menjaga kesihatan tubuh badan dan minda selain daripada mendedahkan ahlinya kepada kaedah terbaik mengelakkan konfrontasi dan berfikiran rasional dan tenang terhadap sebarang bentuk penentangan tetapi dalam masa yang sama berupaya menamatkan konfrontasi tersebut dengan kadar yang segera jika diserang menggunakan kemahiran bertempur yang dipelajari. Taekwondo adalah pemangkin kepada keharmonian dan peningkatan kualiti hidup melalui aktiviti-aktiviti pembinaan kecemerlangan disiplin, jati diri, kesihatan dan pertahanan diri di dalamnya.

* selesai sudah penulisan ana berkaitan senibela diri ni. Ingatkan just amik kelas fizikal sahaja,.alih2 jurulatih suruh siapkan tugasan berkaitan. Alhamdulillah, selesai!! Master,.esok ana submit report ye..=)

Suhaiza_Shuhaimi/AllahisEnoughforMe/17 Dis '13/at hostel