" Kalau abi nak kahwin lagi satu, umi izinkan. Sedikit pun umi tak bantah. Cakap saja, umi boleh pinangkan gadis itu untuk abi. "
Dialog ana bersama suami beberapa ketika lalu. Suami ana hanya mampu menghadiahkan ana sekuntum senyum. Ana memandang wajah suami. Terkebil-kebil mencari riak yang luar biasa gembira padanya. Tidak kelihatan. Seraya tangannya meraih tangan ana lalu digenggam. Ana faham benar maksud genggamannya.
" Kenapa ? Abi tak mahu ke ? " Tanya ana memancing lagi.
Sengaja ana merenung ke dalam anak matanya. Juga tidak kelihatan sebarang reaksi. Yang suami ana tahu, menguntum senyum dan senyum lagi.
Mesti wanita-wanita di luar sana berasa hairan, mengapa ana sangat tidak sensitif dengan isu poligami. Andai ada wanita yang duduk di tempat ana, sudah semestinya memikirkan beribu kali untuk menyoal suami tentang poligami. Malah mebincangkan perkara tersebut juga jauh sekali.
Bukan apa, sebenarnya ana kasihan melihat suami yang melalui perkahwinan jarak jauh ini. Memang sebelum kami berkahwin, ana dan suami telah berbincang tentang keadaan ini setelah mendirikan rumahtangga nanti. Memandangkan ana masih di bangku pengajian dan suami pula bekerja di ibu kota, dan kami menetap di negeri yang berbeza, membataskan kami untuk melaksanakan tanggungjawab suami dan isteri dengan sempurna.
Kasihan pada suami yang hidup 'membujang' walau telah beristeri. Balik dari pejabat, tiada senyuman dan kucupan isteri yang menyambut, apatah lagi minuman panas terhidang. Semuanya suami perlu lakukan sendiri. Membasuh, menyidai, memasak, mengemas dan semua tugas yang sepatutnya seorang isteri lakukan, segalanya dia yang menguruskannya. Itu belum masuk bab keinginan rohani dan hati. Macam-macam yang ana fikirkan. Lalu terlintas di dalam hati, andai ada seorang isteri yang boleh menjaga abi di sana, alangkah bahagianya dia. Sekurang-kurangnya ada juga yang menemani dia siang dan malam. Setiap masa dan ketika. Bukan seperti ana yang hanya menjadi 'weekend wife'. Kalau cuti semester baru boleh menemani abi lama. Itu pun paling lama 3 bulan.
Namun ana bersyukur teramat dikurniakan suami yang sangat menyayangi dan memahami ana. Menerima ana seadanya dan sentiasa membahagiakan ana. Walau berkali-kali ana menyogoknya dengan isu poligami, suami selalu memberi alasan, CUKUP. Cukuplah dengan apa yang dia ada sekarang. Hidupnya sudah sempurna dengan adanya ana di sisinya dan anak pengikat kasih kami. Tidak pernah terlintas di hatinya untuk menduakan ana apatah lagi bermadu. Baginya walau apa pun terjadi, kasih dan sayangnya tidak akan beralih arah malah akan terus menyayangi ana. Kerna ana cinta terakhir hadiah yang jauh lebih sempurna di dalam hidupnya.
Suhaiza_Shuhaimi/AllahisEnoughforMe/3 Nov '12/at my parent's home
No comments:
Post a Comment